Pemandangan bandar raya Shah Alam yang dilanda jerebu pada 13 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kualiti udara merosot, rondaan di kawasan mudah terbakar ditingkatkan

SHAH ALAM, 2 OKT: Kualiti udara dalam negara didapati masih merosot dengan kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat meningkat di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Ketua pengarah alam sekitar berkata pihaknya meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan ke kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain kerap memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Menurut Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, pelan tindakan pembakaran terbuka dan jerebu kebangsaan juga diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

“Semua pemilik tanah juga dinasihatkan memantau secara rapi kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Langkah pencegahan pencerobohan juga perlu dipantau yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah tiada titik panas dikesan dalam negara setakat ini berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus Asean yang berpusat di Singapura.

Sementara itu, menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims), bacaan IPU di lima kawasan di Selangor kekal tidak sihat setakat 3 petang.

Menurut laman web berkenaan, kawasan tersebut ialah Banting (156), Shah Alam dan Petaling Jaya masing-masing mencatatkan IPU 155, Johan Setia (151) dan Klang (124).

Putrajaya (154) dan dua kawasan di Kuala Lumpur iaitu Batu Muda (145) dan Cheras (162) turut mencatat IPU tidak sihat selain Nilai (163), Seremban (156), Port Dickson (154) manakala Taiping, Perak (127).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk pautan https://apims.doe.gov.my/home.html untuk mengetahui IPU terkini.

 


Pengarang :