AGENDAJENAYAH

Polis selamatkan pemandu selepas kenderaan tenggelam dalam banjir kilat

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Tindakan pantas tiga anggota polis berjaya menyelamatkan pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang hampir tenggelam susulan banjir kilat di terowong Jalan Chan Sow Lin, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, tiga anggota berkenaan sedang bertugas mengawal lalu lintas susulan beberapa laluan di sekitar ibu negara ditenggelami air berikutan hujan lebat.

Ketika bertugas anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu terlihat sebuah MPV Nissan X-Trail dalam keadaan terapung di lokasi kejadian dengan pemandunya masih di dalam kenderaan, lapor Berita Harian.

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, melihat keadaan itu, salah seorang anggota terjun ke dalam air bagi menyelamatkan mangsa.

“Air naik jam 6 petang di kawasan Jalan Chan Sow Lin menghala ke Jalan Pudu menyebabkan kenderaan dipandu seorang lelaki tenggelam.

“Tiga anggota berkenaan Koperal Syed Syafiq Syed Halim, Lans Koperal Muhammad Afizul Ismail dan Lans Koperal Shahrip Kamaruzaman bertindak pantas menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, mangsa berusia 27 tahun itu pada mulanya tidak dapat membuka pintu bahagian pemandu yang sudah ditenggelami air.

“Namun, lelaki itu berjaya keluar melalui pintu penumpang belakang yang masih terapung beberapa minit kemudian.

“Mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat dengan bantuan anggota terbabit,” katanya.


Pengarang :