Tokoh Ulama dari Pattani, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan kuliah Isyak Talaqqi Kitab Turath Islami Ihya’ Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Talaqqi Kitab Turath hurai kemuliaan ahli ilmu banding ahli ibadah

SHAH ALAM, 11 OKT: Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami diteruskan dengan alunan zikir selepas solat Isyak di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi yang disertai kira-kira 50 jemaah

Majlis kemudian diteruskan dengan kuliah Isyak yang disampaikan tokoh ulama dari Pattani, Thailand Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni dengan menghuraikan kemuliaan ahli ilmu berbanding ahli ibadah.

Ahli jawatankuasa fatwa Persatuan Ulama Pattani menekankan martabat orang berilmu mengatasi orang kuat beribadah sebanyak 100 darjat, dengan jarak antara setiap satu darjat sejauh pacuan kuda lumba selama 70 tahun.

Jemaah hadir mendengar kuliah yang disampaikan oleh Tokoh Ulama dari Pattani, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Baginda (Nabi Muhammad SAW) menyamakan kedudukan ilmu dengan martabat kenabian. Betapa rendahnya kedudukan amalan yang tidak diiringi ilmu.

“Jika tidak kerana ilmu itu, nescaya amalannya itu pun tidak dianggap sebagai ibadah,” katanya.

Program keagamaan yang merupakan kesinambungan Festival Turath Islami Selangor pada 20 Mei lalu berlangsung dua hari sehingga esok dengan mengupas kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan.

Festival itu dianjur sempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada bahasa Melayu mulai awal tahun ini yang digerakkan Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Ia bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.

Kerajaan Negeri berhasrat mengembangkan syiar Islam menerusi penganjuran program agama ke setiap daerah dengan menampilkan tokoh-tokoh besar.


Pengarang :