Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan bantuan banjir ketika merasmikan program Khidmat Komuniti Madani anjuran Kawasan Rukun Tetangga Sahabat, Sepakat, Berlian (KRT SSB) dan Universiti Kuala Lumpur di Padang, Taman Berlian, Gombak pada 18 November 2023. Foto RADIN WAZIR
SELANGOR

Kerajaan Negeri, JPS bincang penyelesaian isu banjir

GOMBAK, 18 NOV: Kerajaan Negeri serius menangani isu banjir terutama melibatkan kawasan yang kerap dinaiki air dengan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menjalankan siasatan penuh sama ada permasalahan itu disebabkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau punca lain.

“JPS telah dipanggil dan saya minta kembali semula selepas sidang dewan negeri untuk tengok pelan atasi banjir di kampung-kampung terbabit khususnya yang kerap berlaku.

“Laporan diterima dalam tiga minggu, ada dua kali dinaiki air, saya minta maaf banyak-banyak dan akan tengok serta tangani sepenuhnya,” katanya pada majlis perasmian program Khidmat Komuniti Madani di Taman Berlian di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika merasmikan program Khidmat Komuniti Madani anjuran Kawasan Rukun Tetangga Sahabat, Sepakat, Berlian (KRT SSB) dan Universiti Kuala Lumpur di Padang, Taman Berlian, Gombak pada 18 November 2023. Foto RADIN WAZIR

Tambah Amirudin, Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan sepenuhnya pembangunan di sepanjang Jalan Gombak demi kemudahan rakyat.

“Sepanjang Jalan Gombak ini akan diberi tumpuan dalam tempoh lima tahun.

“Insya-Allah kita akan laksana, tidak menang di sini tetapi akan teruskan kerana saya Menteri Besar Selangor dan ahli parlimen Gombak dan akan uruskan kembali selain tingkatkan kehidupan,” katanya.

Baru-baru ini, Amirudin memaklumkan keluarga terjejas banjir di Selangor akan menerima bantuan kewangan RM500.

Selain itu respon dan maklum balas pantas turut diberikan bagi membantu operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).


Pengarang :