Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepda media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Annex, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tawaran belanjawan gembleng potensi negeri, penuhi keperluan masa depan

SHAH ALAM, 10 NOV: Penubuhan Pusat Kecerdasan Buatan (AI) dan Majlis Kemahiran dan Pekerjaan yang terkandung dalam Belanjawan Selangor 2024 antara usaha bagi memenuhi keperluan pasaran masa depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan langkah berani itu juga mampu melahirkan sumber tenaga berkualiti, sekali gus memberi manfaat besar kepada pentadbiran negeri.

Beliau berkata belanjawan turut mengutamakan kualiti perkhidmatan kepada rakyat antaranya projek jajaran rel ke Kuala Selangor dan Sabak Bernam selain penubuhan pentadbiran Lembah Klang Raya.

“Selain itu, banyak perkara yang kita kembangkan termasuk penambahbaikan tuisyen rakyat daripada 65,000 kepada 120,000 selain bantuan bencana untuk sekolah dan saringan perkembangan kanak-kanak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan tanda bagus selepas keluar dari Dewan Negeri Selangor selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Annex, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Belanjawan kali ini agak agresif berbanding sebelum ini dan antara paling panjang sehingga tiga jam. Ini disebabkan hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

“Kita mempunyai masa dan keserasian untuk menggembleng potensi dan keupayaan Selangor,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan belanjawan berjumlah RM2.53 bilion di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan sebanyak RM1.33 bilion atau 52.6 peratus daripada belanjawan keseluruhan diagih untuk perbelanjaan mengurus manakala RM1.2 bilion bagi pembangunan.

Perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan merupakan komponen terbesar perbelanjaan mengurus antaranya kenaikan gaji penjawat awam kontrak, elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain serta petugas masjid.

Beliau turut menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion tahun depan berdasarkan rekod pencapaian pada Ogos 2022 dan September 2023.

Bertemakan Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan, belanjawan tahun depan digerakkan melalui empat teras utama iaitu:

1. Pemangkin pelaburan berkualiti, menjana pendapatan tinggi
2. Mengangkat pendidikan bestari, menjamin alam sekitar lestari
3. Menaungi kebajikan rakyat
4. Mengangkat kesatuan ummah

 


Pengarang :