Kakitangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengikuti pembentangan Belanjawan Selangor 2024 oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di pejabat mereka di Menara Bank Rakyat, Seksyen 14, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNAGENDANASIONALSELANGOR

Bantuan RM3,600 setahun bantu rakyat depani kos hidup diteruskan

SHAH ALAM, 10 NOV: Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) RM3,600 setahun bagi meringankan beban rakyat diteruskan tahun hadapan dengan peruntukan RM108 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan RM300 setiap bulan melalui e-wallet memanfaat 30,000 keluarga bagi tujuan pembelian barangan dan keperluan asas termasuk peralatan pendidikan anak-anak.

“Inisiatif itu diteruskan berikutan keperluan untuk meningkatkan daya ketahanan bagi keluarga di negeri ini yang terkesan dengan cabaran ekonomi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan sejumlah RM2.1 juta diperuntuk bagi menjayakan program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan pada tahun depan.

“Seramai 334 penerima bantuan daripada sembilan daerah telah menerima manfaat tahun ini dan kerajaan bersetuju meneruskan program berbentuk peralatan atau mesin tahun hadapan.

“Antara program lain yang dirancang adalah untuk mengadakan Karnival Blueprint bagi membantu penerima bantuan mengenengahkan produk-produk penerima bantuan selain memberi pendedahan kepada penerima bantuan tentang pasaran yang lebih meluas,” katanya.

Inisiatif Bingkas menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) merupakan skim terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Menerusi Bingkas, setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun dan bayaran diagihkan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :