Foto Facebook ADN Sentosa Dr G Gunarajah
ADNSELANGOR

Jalan Taman Sentosa rosak, wakil rakyat jumpa datuk bandar Klang

SHAH ALAM, 11 JAN: Wakil rakyat Sentosa akan mengadakan pertemuan dengan datuk bandar Klang susulan video tular seorang penduduk menampal sendiri jalan berlubang di kawasan itu.

Dr G Gunaraj berkata Jalan Hulubalang, Taman Sentosa kerap mengalami kerosakan akibat hujan lebat selain sering digunakan sebagai laluan kenderaan berat.

“Petang ini akan ada perjumpaan dengan datuk bandar Klang (Datin Paduka Noraini Roslan) untuk memastikan jalan yang berlubang dan rosak dapat diperbaiki di sekitar Taman Sentosa dan juga Klang.

“Namun kami amat berterima kasih kepada individu yang perbaiki jalan itu. Saya telah menyarankan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk pastikan tindakan segera demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya di Facebook.

Tangkap layar video tular memaparkan seorang penduduk menulis perkataan ‘duit saya’ menggunakan cat kuning di atas jalan yang baru diturap di Taman Sentosa, Klang. Foto Facebook ADUN Sentosa YB Gunaraj

Semalam, seorang lelaki meraih perhatian pengguna media sosial selepas dia menulis perkataan ‘duit saya’ menggunakan cat kuning di atas jalan yang baru diturap di Taman Sentosa, Klang.

Difahamkan, lelaki tersebut melaksanakan kerja turapan sendiri berikutan laluan tersebut kerap rosak sehingga membahayakan pengguna.

Sementara itu, bekas ahli majlis MPK, M Prabu berkata jalan berkenaan sudah dibaik pulih tiga bulan lalu namun kembali rosak akibat hujan lebat dan musim tengkujuh.

“Jalan ini sudah dibaiki tiga bulan lepas, namun disebabkan hujan tanpa henti ia kembali rosak. Pihak MPK sudah dimaklumkan dan jalan yang rosak akan segera dibaiki satu demi satu di seluruh Sentosa,” katanya.

Manakala Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz pula berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap setiap aduan infrastruktur yang diterima.


Pengarang :