Roziah Awang (kanan) bersama pekerjanya di Restoran Kak Yah Nasi Berlauk Batu 7, Shah Alam pada 30 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Rezeki kasih mentua, bekas asnaf diri kedai makan 40 lauk

Kasih mentua bawa rezeki. Itulah gambaran dukungan mentua terhadap Roziah Awang, 40, hingga memiliki kedai makan sendiri.

Wanita kelahiran Kelantan itu meraih Anugerah Success Story pada 3 Disember 2022 dalam Majlis Penyampaian Anugerah Penerima Cemerlang Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Kejayaan Roziah banyak dibantu ibu mentua Sete Tokalah atau dikenali Wak Ilah yang meninggal dunia semasa usia 70 tahun pada 2019. Wanita itu bernikah dengan Yussof Haron, 45, pada 2012.

Bapa mentua Haron Md Shom, 74, atau mesra disapa Wak Haron yang lumpuh dan dijaga Roziah ketika ini, banyak memberi nasihat dan dorongan berniaga.

Segalanya bermula apabila beliau yang kematian suami pertama lima tahun sebelumnya mendapat restu Wak Ilah berniaga nasi berlauk di halaman rumah mentua pada 2013.

Mulanya beliau bekerja kilang bagi membantu suaminya yang bekerja swasta menyara keluarga sebelum berhenti selepas melahirkan anak ketiga.

Melihat kesungguhan Roziah, ibu mentuanya memberi modal RM10,000 untuk mendirikan gerai kecil yang memuatkan lima meja, selepas empat bulan berniaga.

“Masa itu saya seorang sahaja berniaga nasi berlauk. Kata orang pengenalan pertama, tak ada orang lain jual nasi berlauk.

“Paling cantik jualan kasar boleh dapat RM3,000 hingga RM4,000 sehari,” kata wanita empat anak itu ketika ditemui pada 30 November tahun lepas.

Berikutan sambutan menggalakkan, Roziah membina kedai lebih besar untuk keselesaan pelanggan setahun kemudian.

Bermodalkan simpanan hasil perniagaan, tabungan anak dan hasil jualan barang kemas sendiri, Roziah membina kedai makan di tanah ibu mentuanya di Jalan Kebun, Shah Alam.

Ia terpaksa dibina sedikit demi sedikit kerana kekangan kewangan sehinggalah Wak Ilah menghulur RM300,000 sekali gus mencukupkan kos pembinaan kedai sebanyak RM600,000.

Sebaik tegaknya kedai makan Kak Yah Nasi Berlauk pada 2018, Roziah menambah menu sehingga 40 jenis lauk antaranya kerutuk itik, kambing kawah dan gulai ayam dengan tiga pilihan nasi putih, nasi dagang atau nasi kerabu.

Dibantu sembilan pekerja, kedai makan Kak Yah Nasi Berlauk dibuka lima pagi hingga dua petang selain tempahan dihantar ke beberapa kilang setiap hari.

Pada hari bekerja, jualan antara RM3,000 hingga RM4,000 sehari, manakala pada Sabtu dan Ahad mencecah RM6,000 sehari.

Roziah Awang (tengah) bersama pekerjanya di Restoran Kak Yah Nasi Berlauk Batu 7, Shah Alam pada 30 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Hijrah

Meski kelahiran Kelantan, Roziah mengakui banyak mendapat manfaat menjadi penduduk Selangor. Pernah menjadi penerima zakat bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada 2008, Roziah juga mendapat pelbagai bantuan termasuk pinjaman Yayasan Hijrah Selangor.

Walau berstatus ibu tunggal dua anak waktu itu, Roziah memohon LZS menamatkan bantuan kerana mampu bekerja selain menerima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) suami pertama.

“Di Selangor tak pilih kasih. Duit untuk anak yatim, raya dapat, raya haji dapat daging, setiap tahun dapat bantuan naik sekolah. Apa lagi saya nak?” katanya.

Pada 2020, Roziah membuat pinjaman Hijrah sebanyak RM15,000 untuk membeli peti ais dan peralatan dapur. Beliau melangsaikan pinjaman dalam enam bulan.

Tahun sama, beliau membuat pinjaman kali kedua sebanyak RM20,000 untuk mengubah suai kedai dengan menambah sengkuap.

Pada 2021, Roziah meminjam RM30,000 untuk memasang kamera litar tertutup dan peralatan lain, manakala RM50,000 pada 2022 untuk pemasangan lantai jubin dan ubah suai dapur.

Pinjaman untuk mengembangkan perniagaan mudah diluluskan kerana rekod bayaran balik Roziah cukup baik.

“Setiap kali pinjam Hijrah saya tidak guna semua duit itu, saya simpan. Kalau dapat RM20,000 saya guna lebih kurang separuh.

“Selebihnya simpan untuk kecemasan untuk bayar pinjaman sekiranya tak boleh niaga sebab sakit dan sebagainya,” katanya.


Pengarang :