Jambatan Pulau Pinang. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki terjun selamatkan dua individu jatuh laut di Jambatan Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 15 JAN: Tindakan pantas seorang lelaki yang terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang lelaki dan seorang wanita yang terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 menghala ke Perai, malam ini.

Difahamkan sebelum kejadian, pasangan tersebut dipercayai bertengkar di kawasan hentian di Jambatan Pulau Pinang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.49 malam memaklumkan terdapat mangsa jatuh dari Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, apabila pihak bomba tiba di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 30-an terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang namun berjaya diselamatkan.

“Berdasarkan maklumat awal, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lelaki dan wanita tersebut yang pada mulanya menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic berhenti di kawasan hentian di Jambatan Pulau Pinang.

“Ada saksi melihat berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum kedua-duanya terjatuh ke dalam laut sebelum seorang lelaki yang kebetulan berada di kawasan hentian itu bertindak terjun untuk menyelamatkan mereka,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Jurucakap itu berkata kedua-duanya berjaya diselamatkan oleh lelaki itu dan kebetulan ketika kejadian terdapat bot nelayan berhampiran kawasan perairan berkenaan sebelum mereka dinaikkan ke atas bot.

Beliau berkata mereka dibawa ke Jeti Batu Uban sebelum diserahkan kepada pasukan polis dan pasukan perubatan yang bersiap sedia di situ.

“Mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang selepas dipercayai mangsa lelaki mengalami kecederaan di kepala dan memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :