Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Taman Sri Bayu, Ampang Jaya pada 17 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan asas di tujuh lokasi termasuk Segi Fresh pagi ini

SHAH ALAM, 23 MAC: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menjual barangan asas pada harga murah diteruskan ke tiga lokasi hari ini.

Jualan yang bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari diadakan di pekarangan Masjid Ar Rahman Pandamaran Jaya (Pelabuhan Klang), Taman Villoa Tropika, Kajang (Sungai Ramal) dan Kampung Tanjung Mas (Sungai Pelek).

Selain tiga lokasi tersebut, PKPS turut bekerjsama dengan Segi Fresh untuk melaksanakan program JER di empat cawangannya iaitu Gombak, Bandar Saujana Putra, Banting dan Klang Sentral.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Jualan murah barangan dapur itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Pada tahun lalu, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

 


Pengarang :