Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan majlis Penyampaian Hadiah Peraduan ‘CEpat-CEpat Menang’ di Melawati Mall, Ampang Jaya pada 9 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Aplikasi bayar CEPat catat 2.5 juta transaksi, libat lebih 210,000 pengguna takat Februari

GOMBAK, 10 MAC: Aplikasi pembayaran berpusat Citizen E-Payment (CEPat) mencatatkan 2.5 juta transaksi melibatkan seramai 218,000 pengguna setakat Februari.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata promosi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan terus dipergiat untuk menarik lebih ramai pengguna berdaftar dengan aplikasi itu.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) Ahmad Akmal Hamzah bercakap kepada Media Selangor selepas majlis Penyampaian Hadiah Peraduan ‘CEpat-CEpat Menang’ di Melawati Mall, Ampang Jaya pada 9 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Angka ini menunjukkan peningkatan menggalakkan berbanding setakat Februari tahun lalu yang mencatatkan jumlah pengguna sebanyak 103,000 manakala rekod transaksi pula sebanyak 1.4 juta.

“Kita menyasarkan 300,000 pengguna tahun ini. SSDU juga akan menganjurkan peraduan lebih menarik berserta pengiklanan di laman media sosial rasmi kami untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata Ahmad Akmal Hamzah.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan CEPat-CEPat Menang di Pusat Membeli-Belah Melawati di sini semalam.

Dilancar pada 1 Ogos 2019, CEPat menawarkan kemudahan permohonan lesen, bayaran cukai taksiran, kompaun, parkir dan bayaran bil utiliti.

Sehingga kini terdapat 62 perkhidmatan ditawar dalam aplikasi berkenaan meliputi 11 PBT dan tujuh medium pembayaran tersedia untuk pilihan pengguna.

Transaksi tanpa tunai itu boleh dimuat turun melalui PlayStore bagi pengguna Andorid dan AppStore bagi iOS.


Pengarang :