Syahid Al Zahran Mohd Saddam bersama bapanya Mohd Saddam Mohd Pittli.
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Murid darjah satu lari 552 anak tangga dalam empat minit

Oleh Faysal Amani

Berlari tiga kilometer tanpa henti pada umur tiga tahun. Kebolehan luar biasa Syahid Al Zahran Mohd Saddam terserlah sejak kecil hasil didikan bapa Mohd Saddam Mohd Pittli, 33.

Kini berumur lapan tahun, Syahid Al Zahran sudah menyertai banyak acara sukan berhalangan termasuk pertandingan larian menara.

Mohd Saddam yang juga atlet negara acara sukan berhalangan berkata anaknya sering mengikut berlatih. Ketika umurnya dua tahun sudah membuat senaman tekan dan bangkit tubi serta berlari anak di trek.

“Maka sebab itulah pada usia tiga tahun, dia mula berlari jarak dua kilometer tanpa henti. Dari situlah saya terfikir untuk melatihnya dengan lebih serius.

“Awalnya saya tidak meletakkan sasaran untuk Syahid Al Zahran, cuma harap dia meminati sukan saya sertai seperti larian menara dan sukan berhalangan,” katanya kepada Selangorkini, baru-baru ini.

Mohd Saddam dikenali Spartan Giant oleh peminat sukan itu, yakin anaknya mampu mengikut jejak langkah sebagai atlet negara dalam acara sukan berhalangan.

Murid Sekolah Kebangsaan Desa Tun Hussien Onn di Kuala Lumpur, baru-baru ini menjadi satu-satunya peserta cilik menyertai Pertandingan Kebangsaan Larian Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2023 di Petaling Jaya.

Syahid Al Zahran menamatkan larian 552 anak tangga dalam tempoh hanya empat minit untuk meraih tempat ke-70 kategori lelaki terbuka.

Kanak-kanak kelahiran Hospital Teluk Intan, Perak itu pernah mendapat tempat keenam pertandingan Spartan Race Miri di Sarawak untuk kategori bawah 10 tahun, tahun lalu.

“Saya seronok ikut ayah berlatih dan masuk pertandingan… saya mahu jadi sehebat ayah,” kata Syahid Al Zahran.

Daki tangga

Bercerita mengenai latihan diterapkan kepada Syahid Al Zahran, Mohd Saddam berkata, dia hanya membawa anak sulungnya daripada tiga beradik berlari mendaki tangga pangsapuri didiaminya sehingga tingkat 16 sebanyak tiga pusingan, sekali sahaja sebelum Pertandingan Kebangsaan Larian Menara MBPJ 2023.

“Saya nampak dia bersemangat dan tidak mengeluh, mungkin kerana stamina yang ada padanya disebabkan aktif dalam sukan larian.

“Ternyata ia banyak membantunya untuk mendaki anak tangga dengan cepat tanpa henti,” kata Mohd Saddam yang juga anggota tentera.

Meski terikat dengan jadual persekolahan sesi pagi dan kelas agama waktu petang, Syahid Al Zahran kekal bersemangat meneruskan latihan.

Untuk pendedahan terhadap Syahid Al Zahran, Mohd Saddam berkata beliau merancang membawa anaknya menyertai acara larian lima kilometer serta pertandingan Spartan Kids, tahun ini.

Bercerita mengenai dirinya, Mohd Saddam berkata, dia mula menyertai sukan berhalangan pada 2016. Beliau muncul juara dalam penyertaan pertamanya, sekali gus mencambah minat terhadap sukan lasak berkenaan.

Pernah meraih pingat perak dan gangsa untuk negara pada Sukan SEA 2019 dalam sukan berhalangan, Mohd Saddam kini membuat persiapan untuk beberapa lagi pertandingan utama bagi tahun ini.

Anak keenam daripada 10 beradik itu berkata, berbanding acara larian lain, larian menara sangat unik kerana tidak semua orang boleh melakukannya kerana ia sangat mencabar.

“Untuk menyertai acara ini, kita bukan sahaja perlukan kekuatan pada bahagian kaki, malah apa yang lebih penting adalah ketahanan mental untuk mendaki setiap tingkat,” katanya lagi.

__________________________________________________________________________________________________________

Biodata

Nama penuh: Syahid Al Zahran Mohd Saddam
Umur: 8 Tahun
Nama sekolah: Sekolah Kebangsaan Desa Tun Hussien Onn, Kuala Lumpur
Pencapaian:

  • Tempat keenam Spartan Race Miri, Sarawak bawah 10 tahun dan ke-70 Pertandingan Kebangsaan Larian Menara MBPJ 2023

__________________________________________________________________________________________________________

Nama penuh: Mohd Saddam Mohd Pittli
Umur: 33 tahun
Asal: Teluk Intan, Perak
Pekerjaan: Tentera
Pencapaian:

  • Sukan SEA 2019 – pingat perak dan gangsa
  • Juara R U TOUGH ENOUGH Asia Tenggara 2018
  • Juara 1st Asian OCR Championship 2018
  • Juara Asia OCR Games 2019
  • Juara SEA Regional Series Men Elite 2019
  • Ketiga SEA Regional series Men Elite 2022
  • Emas Spartan Race (tujuh kali)
  • Perak Spartan Race (14 kali)
  • Gangsa Spartan Race (4 kali)

 

 


Pengarang :