Kematian remaja berusia 17 tahun Yazan Ishtayeh ditangisi keluarganya. Mangsa diserang berdekatan Nablus, utara Tebing Barat pada 15 April 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Angka korban warga Palestin hampiri 34,700 susulan serangan berterusan Israel

ANKARA, 5 MEI: Sekurang-kurangnya 34,683 warga Palestin terkorban dalam serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lepas, kata Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad.

Satu kenyataan kementerian menambah 78,018 orang lagi cedera dalam serangan itu.

“Serangan Israel mengakibatkan 29 orang maut dan mencederakan 110 yang lain dalam tempoh 24 jam lepas,” lapor Agensi Anadolu yang memetik kenyataan kementerian itu.

Seorang wanita Palestin berdiri di atas runtuhan susulan serangan berterusan Israel di Rafah, Semenanjung Gaza pada 3 Februari 2024. Foto REUTERS

Ramai mangsa yang masih lagi terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di jalan raya kerana pasukan penyelamat masih tidak dapat menghampiri mereka, katanya.

Serangan Israel selama lebih enam bulan mengakibatkan banyak bangunan dan kediaman musnah menyebabkan 85 peratus daripada penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal selain menghadapi sekatan ke atas makanan, air bersih dan ubat-ubatan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kanak-kanak Palestin tidak sabar mengambil makanan pada hari ketiga Ramadan, bersamaan 13 Mac, ketika serangan Israel berterusan di Rafah, selatan Gaza pada 13 Mac 2024. Foto REUTERS

— BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :