Sebuah pesawat ringan yang menjalani latihan terhempas di kawasan ladang Besout 2 Tambahan, Sungkai, Perak pada 4 Mei 2024 menyebabkan jurulatih penerbangan dan pelatih cedera. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pesawat terhempas: Juruterbang, pelatih dikenal pasti, kedua-duanya sudah dibawa keluar

IPOH, 4 MEI: Dua mangsa pesawat ringan jenis Cessna 172 (9M ADA) yang terhempas di kawasan ladang kelapa sawit di ladang Besout 2 Tambahan, Sungkai dekat sini merupakan jurulatih penerbangan dan pelatih.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Kapten Shahrul Imran Surea, 26, yang beralamat di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur dipercayai patah kaki kanan, manakala Ho Jia Lee, 20, beralamat di Lahat, Perak mengalami bengkak muka di sebelah kanan.

“Pesawat adalah dari Syarikat Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd, Ipoh.

“Pesawat bergerak dari Ipoh ke Tanjung Karang pada 7.59 pagi tadi untuk latihan penerbangan, kemudian berpatah balik ke Ipoh dan terhempas di lokasi pukul 9.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata kedua-dua mangsa telah dibawa keluar dari lokasi kejadian.

“Kita terima panggilan kecemasan pada 9.46 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor telah dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 20 kilometer dari jalan besar,” katanya.

Terdahulu, video kejadian itu tular melalui aplikasi WhatsApp.

– BERNAMA


Pengarang :