Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menyaksikan serahan sumbangan Insentif Haji Muassasah bernilai RM500 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop (dua, kiri) kepada bakal jemaah haji pada majlis Jalinan Aidilfitri Warga Felda di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor pada 4 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan Perpaduan terus tekad bantu B40, M40 tingkat pendapatan

HULU SELANGOR, 4 MEI: Kerajaan Perpaduan terus tekad membantu rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) keluar daripada kelompok tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap perancangan disusun rapi dan usaha berkenaan mampu dicapai kerana Putrajaya dipimpin oleh kerajaan yang stabil.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Jalinan Aidilfitri Warga Felda di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor pada 4 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kerajaan kini sedang berusaha untuk elak rakyat terus terperangkap dalam kalangan pendapatan B40 dan M40. Kita mulakan dengan penjawat awam (kenaikan gaji) dan yakin sektor swasta akan mengikutinya.

“Kita tidak mahu menjadi kerajaan populis…rakyat dibantu dengan pelbagai usaha seperti menaikkan sumbangan kepada semua golongan. Ini semua dibuat secara bersusun kerana kita ada kerajaan yang stabil,” katanya pada majlis Jalinan Aidilfitri bersama warga Felda di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Tengi di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan orang ramai pada majlis Jalinan Aidilfitri Warga Felda di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor pada 4 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Susulan itu, Selangor turut melaksana penyelarasan kenaikan gaji penjawat awam minimum lebih 13 peratus seperti dilakukan kerajaan persekutuan.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga ahli Parlimen Gombak menyeru supaya rakyat terus memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan menjalankan tanggungjawab selepas diberi mandat pada pilihan raya lalu.

“Pada pilihan raya lalu rakyat telah memilih dan ini keputusannya, beri peluang kerana jika tidak betul rakyat ada kuasa untuk memilih.

“Alhamdulillah, pertukaran kerajaan menerusi sistem pilihan raya berjalan dengan aman dan tiada rusuhan atau kacau bilau. Malaysia bertukar kerajaan beberapa kali semuanya berjalan lancar biar pun ada suara di belakang,” katanya.

 

 


Pengarang :