Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis amanat khas PM bersama penjawat awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kenaikan gaji bantu penjawat awam tambah simpanan kecemasan

SHAH ALAM, 4 MEI: Pengumuman kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula Disember ini melegakan rata-rata penjawat awam terutama dalam zaman ekonomi penuh mencabar dan kos sara hidup tinggi.

Pemandu, B Balachandar, 38, berkata kenaikan gaji membolehkan beliau membuat simpanan lebih setiap bulan selain bercadang mengambil insurans kesihatan untuk keluarga.

B Balachandar, 38. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Simpanan penting untuk masa depan. Dengan kenaikan ini nanti bolehlah simpanan setiap bulan ditambah.

“Namun sebagai penjawat awam prestasi kerja merupakan tanggungjawab yang tidak wajar hanya didorong oleh jumlah gaji diterima. Prestasi kerja perlu sentiasa berada pada tahap cemerlang bagi memastikan setiap tugas diamanahkan dilaksana dengan sempurna,” katanya.

Bagi kakitangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Nur Baizura Bahman, 35, walaupun penjawat awam berpencen tetapi simpanan kecemasan amat perlu.

“Dengan kenaikan ini, boleh tambah tabung simpanan kecemasan saya dan keluarga.

Nur Baizura Bahman, 35. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Kenaikan gaji memang faktor pemangkin semangat namun penjawat awam juga seharusnya perlu sentiasa mengutamakan tugasan dan amanah yang diberikan dengan sehabis baik,” katanya.

Bagi Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Ooi Bee Ling, 43, walaupun bujang beliau yang sudah berkhidmat 15 tahun sebagai penjawat awam menganggap kenaikan diumumkan kerajaan tepat pada masanya.

“Masing-masing terkesan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi ditambah pula dengan komitmen masing-masing ketika ini. Jadi keputusan kerajaan itu sudah pasti kami sambut baik sekali gus terus menjalankan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.

Ooi Bee Ling, 43. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Rabu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.


Pengarang :