Mangsa banjir di Kota Tinggi kekal 300 orang membabitkan 69 keluarga setakat 8 pagi 5 Mei 2024. Foto Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Kota Tinggi 300 orang takat pagi ini

KOTA TINGGI, 5 MEI: Jumlah mangsa banjir di daerah ini kekal 300 orang daripada 69 keluarga, setakat 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa yang terjejas merupakan penduduk dari Kampung Temenin Baru dan Kampung Desa Makmur.

“PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang dibuka susulan hujan lebat berterusan melebihi tempoh dua jam, semalam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata setakat ini, paras air di lima sungai utama di daerah ini masih berada pada tahap normal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora dalam satu kenyataan berasingan mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mematuhi papan tanda amaran terutama di kawasan yang dinaiki air.

– BERNAMA


Pengarang :