AGENDAJENAYAH

Suami isteri ditahan, bantu siasatan rogol anak hingga bersalin

SEREMBAN, 5 MEI: Suami isteri ditahan bagi membantu siasatan dakwaan wanita berusia 20 tahun yang menjadi mangsa rogol bapa kandungnya sejak berusia 12 tahun, sehingga melahirkan anak di Kampung Chuah, Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sejak 2016 sehingga tahun ini di dalam rumah sama kampung tersebut.

Beliau berkata ibu bapa pengadu, masing-masing berusia lingkungan 40-an itu ditahan Jumaat lalu pada 11.40 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bagi membantu siasatan.

“Mangsa mengadu kepada ibunya namun tidak diendahkan walaupun pengadu telah melahirkan dua orang anak. Seorang meninggal dunia semasa lahir manakala seorang lagi berusia tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ibu bapa pengadu tersebut didapati mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan kedua-duanya direman lima hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

– BERNAMA


Pengarang :