Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengadakan sidang media di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemain Selangor FC disimbah asid, MB gesa siasatan menyeluruh polis

SHAH ALAM, 6 MEI: Dato’ Menteri Besar menggesa polis membuat siasatan menyeluruh berhubung insiden keganasan membabitkan pemain Selangor FC Faisal Halim yang disimbah asid semalam.

Menerusi kenyataan di Facebook, Dato’ Seri Amirudin Shari turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sama terhadap kes samun ke atas pemain pasukan kebangsaan Akhyar Rashid, baru-baru ini.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap Faisal Halim (pemain bola sepak Selangor FC) dan Akhyar Rashid (pemain pasukan kebangsaan) baru-baru ini.

“Tindakan berunsur samseng ini melampau dan tidak sewajarnya berlaku. Saya menggesa pihak polis melaksanakan siasatan menyeluruh dan mendoakan kedua-dua pemain ini sembuh segera,” katanya.

Semalam, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi mengesahkan insiden di sebuah pusat beli-belah menyebabkan Faisal melecur tahap dua dengan kecederaan sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menitahkan polis segera menyiasat insiden terbabit dan mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral itu.

Baginda selaku Penaung Selangor FC juga mahu pihak berkuasa menyiasat kejadian itu hingga akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya ditangkap segera.

Sebelum ini, Akhyar yang juga pemain sayap Terengganu FC cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Icon Residence, Kuala Terengganu.


Pengarang :