BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dana kebajikan ditambah, pemberian tunai RM10 bilion untuk B40

Oleh NADIAH ZAMLUS

Sebanyak RM10 bilion diagih kepada rakyat berpendapatan rendah atau B40 menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun ini.

Usaha Putrajaya menerusi Belanjawan 2024 itu menyaksikan pertambahan RM2 bilion berbanding tahun lalu dan memanfaatkan lebih lapan juta penerima, iaitu hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik berkata STR penjenamaan semula program bantuan tunai untuk B40.

Menyedari kenaikan harga barang membelenggu sebilangan besar rakyat, kerajaan meningkatkan kadar pemberian tunai lebih 66 peratus kepada RM500, berbanding RM300 tahun lepas.

Itu bagi kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah. Manakala isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 layak menerima RM100 hingga RM300.

Penerima bagi kategori warga emas yang tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.

Ketika pembentangan Belanjawan 2024, Anwar yang juga menteri kewangan memberitahu, mulai tahun ini semua penerima STR turut menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Melalui SARA, penerima kategori isi rumah miskin dan miskin tegar layak mendapat RM100 sebulan selama 12 bulan selain wang daripada STR.

STR dan SARA program kerajaan persekutuan di bawah inisiatif Payung Rahmah. Di bawahnya turut terdapat Menu Rahmah, Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Jalur Lebar Rahmah, Kad Diskaun Khas Menu Rahmah.

Belanjawan 2024 dibentang 13 Oktober tahun lalu, memperuntukkan RM200 juta untuk Payung Rahmah bagi membantu golongan B40 menyerap kos sara hidup.

Dalam program Jualan Rahmah barangan keperluan asas ditawarkan pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah di seluruh negara.

Beri rebat

Bertema Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat, antara tumpuan undang-undang perbekalan itu meningkatkan taraf hidup kumpulan rentan seperti pesawah, peniaga kecil dan golongan B40.

Ia termasuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta.

Golongan miskin tegar memperoleh RM500 juta melalui program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Mac lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan seramai 42,770 pemohon mengikuti program Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), 27,314 menyertai Inisiatif Usahawan Tani (INTAN).

Seramai 29,422 pemohon di bawah Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN). Semuanya dilaksana bawah program IPR.

“Kerajaan Madani beriltizam untuk memberi rakyat sejagat kehidupan yang bermaruah. Kunci kestabilan negara terletak kepada kesaksamaan dan keadilan sosial seperti yang didamba dalam kerangka Ekonomi Madani,” kata Anwar pada 28 Januari.

Mac lalu, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju Jabatan Perangkaan (DOSM) membangunkan indikator baharu mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.

Indikator tersebut bagi membantu kerajaan merangka pelaksanaan program lebih tepat dan berkesan.

Kerajaan turut menekankan keperluan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan tiada pihak ambil kesempatan atas peluasan skop dan perubahan kadar Cukai Perkhidmatan yang dilaksanakan ke atas beberapa perkhidmatan terpilih.

Perdana Menteri tidak pernah menafikan masalah kos sara hidup ketika ini dan pihaknya sentiasa berusaha mencari jalan untuk memperbaiki perkara itu.

 

 

 

 

 


Pengarang :