Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan pelajar tahfiz dari Pondok Tok Mengkarak Bera Pahang yang hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri di Masjid Ashabus Solihin Taman Rakan Kajang pada 27 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM seru tingkat latihan AI, TVET termasuk kepada pelajar tahfiz

GEORGE TOWN, 5 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak pelaksana terutamanya kementerian untuk memberi fokus melatih golongan anak muda mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya negara tidak ketinggalan dalam bidang itu.

Perdana Menteri berkata dalam hal itu, pendedahan bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus diberi penekanan dan ditingkatkan dengan memastikan sesiapa sahaja yang berminat termasuk pelajar maahad tahfiz dapat memanfaatkan program disediakan kementerian mahupun agensi kerajaan.

“TVET itu harus ditingkatkan untuk memenuhi (permintaan pelabur) seperti tiga atau empat hari lalu, kita ada Microsoft yang melabur RM10.5 bilion dan ini memerlukan puluhan ribu pekerja.

“Kalau (pelaburan itu melibatkan) semua ekosistem maka ratus ribu pekerja harus dilatih. Apakah kita ada keupayaan itu?” kata Anwar sambil memaklumkan bahawa Malaysia kekurangan 30,000 jurutera ketika ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :