EXCO Perumahan, Borhan Aman Shah berucap ketika Program Rewang Komuniti Strata-Aidilfitri dan pelancaran Program Didik Selangor di Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 5 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Rewang Komuniti Strata hidupkan nilai tradisi, kukuh hubungan sosial

AMPANG JAYA, 5 MEI: Program Rewang Komuniti Strata menjadi tapak integrasi sosial dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.

EXCO perumahan berkata program itu menghidupkan semula nilai tradisional untuk penduduk pangsapuri berinteraksi dan membentuk ikatan sosial.

“Dengan memperkukuhkan lagi tradisi berkumpul bersama, program ini memperkukuhkan hubungan sosial di antara penduduk pangsapuri yang juga menyatukan keluarga, sahabat dan jiran tetangga.

“Ia juga memupuk semangat gotong-royong dan rasa tanggungjawab bersama terhadap kebajikan dan kemajuan komuniti,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian pada program Rewang Komuniti Strata Aidilfitri di Pangsapuri Sri Impian, Ukay Perdana di sini, hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin.

Exco Perumahan, Borhan Aman Shah (tengah) bergambar bersama selepas merasmikan perpustakaan ketika Program Rewang Komuniti Strata-Aidilfitri dan pelancaran Program Didik Selangor di Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 5 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut Kamri, program rewang menghidupkan semula budaya kampung di kawasan perumahan bertingkat dengan menyemai sifat saling peduli, bekerjasama dan bertolak-ansur.

“Ini penting kerana dalam komuniti bertingkat, kita berkongsi tanggungjawab dalam menjaga aset bersama seperti bumbung, taman permainan, koridor dan sistem paip,” katanya.

Program rewang diperkenal tahun lalu bagi memudahkan penduduk mendapat maklumat berhubung pentadbiran negeri yang mana Ampang dan Hulu Langat dipilih sebagai kawasan perintis.

 


Pengarang :