BUDAYARENCANA

Seni itu hantu

Oleh Sickqmier

Mata pandai menipu. Jadi benarlah, apa yang adik lihat selama ini hanya ilusi? Jadi terbuktilah kata-kata Iman Ismail dalam cerpen Satu Lagi Surat Untuk Emak? Jadi… ah, betullah semua artis ada masalah mental. Adik juga artis. Lukis ilustrasi. Ia kerjaya. Kali terakhir, untuk seorang penulis Perancis yang digelar Puan Jay.

Mak suruh adik jadi pelukis.

Bukan sebab adik pandai melukis. Tetapi bodoh belajar. Adik tak pandai persamaan kuadratik, I’rab kalimah, persamaan kimia dan lain-lain. Mak paksa adik ambil seni. Adik cuba. Tetapi semakin lama adik rasa seperti watak yang terperangkap dalam sebuah takdir. Ya, adik berjaya. Tetapi ada sesuatu yang menyesak dada. Menikam sukma.

Mungkin seni itu hantu. Adik melihat seni sebagai makhluk. Tepatnya makhluk ghaib. Adik lihat seni—nampak biasa. Faktanya, ia luar biasa. Dan di situ mata telah menipu semua. Tidak rasakah apabila kita melukis, akan ada rasa yang asing? Jadi sekarang, adik nampak benda pelik-pelik. Adik lihat matahari ada kaki. Awan ada rambut korea. Kawan adik waktu sekolah macam kerang bakar. Itu adalah imaginasi atau realiti? Sekali lagi, mata pandai menipu.

Mak, adik nak bebas. Tak nak kawan seni. Seni itu seram. Hantu. Pocong. Langsuir. Dan segala benda seram yang ada di dunia kecuali ramadan ini. Adik nak insaf.

Sejak mak suruh melukis, adik juga menulis. Adik lebih suka hasilkan tulisan ketimbang lukisan. Mak cakap: “Tulisan dan lukisan boleh digabungkan menjadi satu hati.”

Adik pening. Bukan! Ubat Epilim itu sudah ditelan. Ya, ubat mental itulah! Maksudnya, pening memikirkan maksudnya. Jika lukisan hantu, tulisan ibarat payung eskapisme daripada hantu tu. Tulisan melarikan adik daripada lukisan. Seperti adik baca novel cintan-cintun untuk larikan diri daripada masalah. Walaupun adik tak ada kekasih.

Sepi. Seni datang lagi. Membawa ilham melukis. Inilah magisnya hantu ghaib laknatullah! Selalu ganggu waktu rehat. Adik melihat bunga menjadi raksasa seperti dalam filem Ultraman. Adik melihat raksasa Gomora melawan Zetton. Di atas, ada kapal angkasa dari Tapops dalam animasi Boboiboy. Tok bertukar menjadi Tok Kasa. Adik dah tak nak lalui semua ini!

Kenapa adik menjadi seorang pelukis? Adik cuba ingat. Ya, mahu kerja. Tetapi, adik juga minat alam. Gemar berimaginasi dengan alam. Apabila melihat rumput, rasa macam nak tidur di atasnya. Tabiat alam sungguh nakal. Ia manja. Adik mahu ajuk di atas kertas lukisan. Buat ilustrasi.

Ah, ini bukan kerana mak. Tetapi adik yang memilih untuk sentuh hantu ni. Entah-entah, hantu ni dah sebati dalam jiwa.

Adik fikir, adik ada mental illeness. Maksudnya, semua ini ilusi. Entah-entah rupa pokok memang begitu. Entah-entah raksasa itu wujud. Siapa tahu? YTJT? Oh, sungguh celaka teka-teki ini. Malang betul hidup denganmu, oh seni. Eh, silap. Hantu laknatullah. Orang yang adik lihat, entah-entah tak wujud pun. Seperti jalan cerita Joker yang buat orang tertanya-tanya: Hang rasa watak dalam ni wujud tak?

Adik rasa tak. Adik rasa semua tak wujud! Eh jap, entah-entah adik yang tak wujud! Ahhh!

Seni menjelma seorang manusia. Ya, ini rupa mak.

Seni : Saya bukan hantu laknat. Saya bukan juga sesiapa. Tetapi saya ialah seni. Yang ilusi bukan saya, tetapi awak.

Apa maksud awak?

Seni : Awak tak pernah fikir ke, sebab seni juga hati awak tenang, sebab seni juga awak kenal diri awak. Awak temu cara untuk jadi jujur. Awak dapat menyara hidup awak. Sebab saya. Maaf kerana buat awak salah anggap.

Apa semua ni? Ingat aku terpedaya dengan kau? Sesungguhnya Syaitan memang banyak tipu helah.

Seni : Astaga, kau kata aku syaitan! Tak cukup indah lagikah matamu menipu?

Jadi memang betullah ia menipu?

Seni : Menipu untuk jiwamu juga. Seni memang khayalan. Tetapi bukan khayalan yang membosankan. Aku menipu matamu agar kau dilindungi. Baik, aku akan pergi dan lihat apa jadi!

Seni beredar daripada hidup adik. Sejak itu, adik melihat segalanya. Alam yang penuh sampah. Ultraman dan raksasa yang menjadi inspirasi kerjaya sirna. Perempuan bernama A. tinggalkan adik. Manusia saling berperang demi harta kuasa. Oh, adik sudah tidak larat membuka mata. Kembalikan seni adik!

Adik nak tengok tasik jernih balik. Adik nak tengok orang baik-baik. Adik nak tengok puisi ada sayap. Adik nak tengok pari-pari. Adik nak tengok khayalan jadi nyata. Adik nak tengok matahari jalan kaki. Adik nak tengok, bulan memakai gaun. Adik nak dengar hujan menyanyi lagu romantis seperti Tak segampang itu. Adik nak tengok daun menari. Adik nak tengok bunga mewangi. Adik nak tengok obor-obor berdansa di atas langit dan masuk ke awan dan keluar balik. Adik nak tengok muka kawan macam kerang. Adik nak tengok benda-benda aneh.

Tetapi adik jahat. Adik buat seni merajuk. Adik tahu, ini salah adik. Tidak akan ada sudah kisah ini. Seni sudah diangkat ke langit (mati). Lepas ni, adik hanya boleh lihat benda-benda yang menyakitkan hati. Selamat tinggal, seni. Adik yang hantu kerana percaya seni itu hantu. Ahhh.

Kembalikan seni ke pangkuan adik. Jika ada peluang, adik mahu menyediakan daerah paling indah di hati untuk seni duduk berehat. Dan benarlah, semua artis mempunyai masalah mental dan kecelaruan identiti. Adik cintakan mata. Kerana: Mata pandai menipu.

 


Pengarang :