P.Pinang Bina 11,596 Rumah Kos Rendah Dan Sederhana

PULAU PINANG, 1 FEB: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang memperuntuk RM500 juta untuk membina 11,596 unit rumah mampu milik di Seberang Perai dan Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah dilantik menjadi agensi pelaksana untuk tabung rumah mampu milik.

Menurut Lim, peruntukan RM500 juta tersebut diperoleh kerajaan negeri hasil dari penswastaan Bayan Mutiara secara tender terbuka.

“Di bawah pentadbiran lama RM600-800 juta wang rakyat dicadangkan dibelanjakan untuk memindahkan pusat pentadbiran baru daripada Komtar ke Bayan Mutiara.

“Kerajaan baru Pakatan Rakyat telah menolak cadangan ini dan menggantikan dengan cadangan pengswastaan yang tidak perlu membelanjakan wang besar sebalik menambahkan sumber kewangan agar kerajaan negeri boleh menjalankan projek sosial seperti membina rumah mampu milik.” jelas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya dari jumlah tersebut kerajaan negeri terlibat dalam menyediakan 1,194 unit kos rendah dan 2,227 kos sederhana.

Manakala pihak swasta pula menyediakan 2,612 untuk kos rendah dan 5,563 kos sederhana.

Harga rumah kos rendah tersebut adalah RM42,000 dan kos sederhana adalah RM72,000.

Menurut Lim, usaha kerajaan negeri ini sekaligus menyangkal dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri PR tidak membina rumah mampu milik kepada rakyatnya.


Pengarang :