Penerima Asnaf Buktikan Kemampuan Dalam Perniagaan

SHAH ALAM 24 JULAI : Burhan Salikon, 45, merupakan bekas asnaf miskin daerah Kuala Selangor yang berjaya dalam perniagaan makanan cendol hasil bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor(LZS).

Disebalik kejayaannya, Burhan pernah jatuh menjadi muflis gara-gara salah percaturan dalam perniagaannya yang menyebabkan beliau sekeluarga terdampar bagai orang yang terbiar.

Katanya, anak-anaknya pernah keciciran sekolah selama enam bulan sehingga LZS menyediakan pelbagai bantuan seperti bantuan pendidikan dan terutamanya bantuan kewangan bulanan buat beliau sekeluarga.

“Dengan semua bantuan inilah yang membuat saya untuk pulih kembali meneruskan hidup dengan dengan membuka Gerai Cendol Durian Borhan di Pasir Penambang, Kuala Selangor,” katanya yang sudah mengusahakan perniagaan ini sejak 1987.

Sebelum ini, LZS menyalurkan sebanyak RM9,490 pada 2010 untuk membeli peralatan seperti set generator, mesin memproses cendol, mesin memerah santan, pengisar air batu dan peti ais.

LZS meluluskan lagi bantuan membina gerai sebanyak RM12,386 diiringi modal pusingan sebanyak RM5,000 dan kini perniagaannya sudah maju dan mulai penghujung tahun 2010 beliau sudah keluar daripada senarai asnaf.

Borhan dipilih menerima Anugerah Tokoh Usahawan Asnaf di Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersama Rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah malam tadi.

Turut hadir di majlis ini, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, barisan Exco dan Adun-Adun Selangor, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Seramai lima orang Tokoh Usahawan Asnaf dipilih untuk menerima anugerah iaitu Burhan Salikon, Mohd Yatim Abd Ghani, Sharifah Surit, Sheikh Abd Rahim Sheikh Yahya dan Sakilla Hanis Mohamed.

 

Sementara itu, Sakilla Hanis Mohamed, 33, seorang ibu tunggal dari Klang menerima anugerah itu hasil bantuan zakat kepadanya untuk mengusahakan perniagaan orkid.

Bangkit daripada kegagalan setelah berpisah dengan bekas suami kira-kira dua tahun lalu, LZS menyalurkan bantuan berjumlah RM20,000 berupa stok jualan pokok bunga dan modal pusingan.

Beliau kini berjaya menjadi pengusaha ladang orkid berjaya di tanah seluas 1/4 ekar sehingga meraih pendapatan sebanyak empat angka sebulan dan telah pun menunaikan zakat di LZS.


Pengarang :