Premis Siber Haram ‘Kantoi’ Diserbu MPK

KLANG 01 NOV : Promosi RM1 sejam bagi permainan video oleh sebuah premis pusat siber haram berjaya dihidu Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Hasil serbuan itu sebanyak 120 unit peralatan pusat siber disita termasuk komputer serta beberapa barangan lain dalam satu operasi khas baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPK, Shahrul Hazri Abd Majid berkata premis terbabit bertindak mempamerkan lesen yang didaftarkan di Taman Sri Mewah, Jalan Kota Raja, sedangkan premis itu beroperasi di Taman Sementa Utama, Kapar.

Katanya, premis terbabit sentiasa menjadi tumpuan para pelajar kerana ia menawarkan harga promosi yang cukup murah iaitu RM 1 setiap sejam serta turut menyediakan permainan komputer terbaru untuk para pengunjung.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan penguatkuasa MPK, terdapat pelajar sekolah yang masih di bawah umur leka bermain permainan komputer di pusat siber yang baru dibuka itu.

Tindakan itu diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pusat Siber dan Kafe Siber MPK 2007 yang boleh dikenakan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan sekiranya sabit kesalahan, pemilik boleh dikenakan penalti sehingga RM2,000.

“Dalam serbuan itu juga, 10 pelajar ditahan ketika leka melayari Internet dan bermain permainan komputer,” katanya dalam kenyataan media.

Sehubungan itu, katanya, operasi seperti itu akan diteruskan bagi memastikan tiada pihak ingkar dengan undang-undang dan pada masa yang sama membendung gejala yang boleh merosakkan generasi muda.

“Selain daripada itu, pemantauan juga akan diadakan dari masa ke semasa terhadap premis ini kerana tindakannya ternyata membelakangi undang-undang yang ditetapkan majlis,” katanya.


Pengarang :