Festira’16 kembali dengan lebih 500 gerai sepanjang Ramadan

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Festival Ramadan Selangor 2016 (Festira’16) diteruskan buat tahun kedua selama 40 hari bermula 27 Mei hingga 5 Julai ini.

Berlangsung serentak di tiga bangunan dibawah PKNS Real Estet Sdn Bhd (PREC) di SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi, Festira’16 menampilkan lebih 500 gerai jualan dengan lebih 250 daripadanya dalam suasana berdingin hawa.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakhru Radzi Ab Ghani, berkata Festira’16 berjaya melebarkan sayap di lima kawasan bukan sahaja di Shah Alam dan Bangi malahan Ampang Jaya dan Sabak Bernam hasil kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

FESTIRA“Festira buat pertama kali menampilkan dua ruangan perniagaan terbaru yang dinamakan Jameela Street dan Tempat Orang Lokal (TOL).

“Jameela Street berada di tingkat dua dan tiga hasil penjenamaan semula yang digelar ‘Fashion Circle’ serta menempatkan 26 lot hub fesyen muslimah.

“TOL pula adalah inisiatif untuk mengumpulkan vendor tempatan terutama bagi menarik golongan muda,” katanya di SACC Mall di sini hari ini.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik sudah disusun di setiap bangunan bermula 12.00 tengahari sehingga 7.00 petang dengan barisan artis terkenal seperti Liza Hanim, Raja Farah dan Faiz Dickie selaku duta Festira.

FESTIRA 1Festira’16 dirasmikan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari sambil diiringi Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah dan Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakhru Radzi Ab Ghani.

Selain itu, tradisi edaran bubur lambuk Kampung Baru secara percuma kepada orang awam diteruskan setiap Isnin dan Khamis bermula jam 4.00 petang.

-nR-


Pengarang :