Netizen kecoh rasa gegaran Pulau Lombok?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 JUN: Gegaran kesan daripada gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang melanda luar pulau Lombok hari ini didakwa turut dirasai penduduk di Selangor.

Menurut beberapa netizen di Facebook, gegaran itu dirasai berlaku kira-kira jam 10.00 pagi tadi.

“Salam warga Damansara Damai. Nak tanya ada rasa gegaran tak pagi ini? Kami di pejabat terasa bergegar sepintas lalu sekejap tadi. Apa sedang berlaku,” tanya pemilik akaun Facebook bernama Nur Alisya.

LOMBOKSoalan dilontarkan itu Nur Alisya turut menarik beberapa netizen lain yang mendakwa merasai perkara sama.

“Kami pun tidak pasti tetapi memang terasa gegaran sebentar tadi di bangunan KFC. Dulu memang ada gegaran di Indonesia sampai terasa ke sini, tetapi yang ini tidak pasti,” tulis Zie Aziz.

Sementara itu, seorang lagi netizen yang menggunakan nama Amt Utara menjangka gegaran itu berpunca daripada kerja-kerja menanam cerucuk di tapak projek berhampiran.

Sebelum itu, Geologi Amerika Syarikat melaporkan satu gempa bumi berukuran 6.2 magnitud melanda luar pulau Lombok hari ini, namun tiada laporan kecederaan dan kerosakan dilaporkan.

Menurut Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, gempa bumi agak kuat dengan gegaran berlaku selama 3 ke 4 saat tetapi tidak mencetuskan amaran Tsunami.

Sementara itu, saksi berkata, gegaran berlaku beberapa kali ketika dan orang ramai berlari keluar dari kediaman masing-masing dalam keadaan panik.

-AA-


Pengarang :