Penguat kuasa MDHS menyita barang di dalam premis. Foto ihsan MDHS
PBTSELANGOR

Kilang kitar semula plastik haram disita

SHAH ALAM, 18 OKT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita premis yang menjalankan aktiviti kitar semula plastik haram di Jalan Kamunting, Bukit Sentosa, semalam.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dalam kenyataan memaklumkan antara barangan disita ialah satu unit penimbang digital, dua unit forklift, tiga unit tong gas dan satu unit mesin kimpalan.

“Tindakan sita dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil 38 (1), Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan 6 Perindustrian, (MDHS), 2007 yang membolehkan PBT menyita apa sahaja barangan boleh alih berkaitan kesalahan dilakukan di lokasi yang dinyatakan.

Khairul Nizam Mohamed Khanafi menampal notis di hadapan pintu premis untuk menghapuskan kacau ganggu dalam tempoh 14 hari. Foto ihsan MDHS

“Kesemua barangan sitaan sudah dibawa ke stor simpanan MDHS untuk simpanan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

MDHS turut mengeluarkan notis kacauganggu di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan premis terbabit meletakkan timbunan sisa plastik di atas jalan awam yang berpotensi menyebabkan pembiakan nyamuk dan vermin.

“Dua kompaun turut dikeluarkan MDHS atas kesalahan membuat penimbunan tanpa kelulusan dan menjadi halangan di jalan awam,” kata PBT itu lagi.

Pada masa sama, MDHS memaklumkan, pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dan memastikan setiap premis perniagaan serta perindustrian yang wujud di Hulu Selangor mematuhi peraturan ditetapkan.

“MDHS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkasaan ke atas mana-mana premis jika didapati menjalankan operasi perniagaan tanpa mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Operasi itu diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa MDHS, Khairul Nizam Mohamed Khanafi dengan kekuatan 45 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Air Selangor dan jabatan teknikal MDHS.


Pengarang :