Kenderaan yang membawa Datuk Seri Najib Razak dilihat memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 11 pagi tadi. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib ke Bukit Aman, disiasat Facebook pemimpin DAP

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini hadir memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan kes kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di laman sosial Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’.

Najib dilihat memasuki Bukit Aman kira-kira 11 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan yang Najib akan hadir hari ini bagi memberi keterangan.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebelum ini dilapor menggesa polis menyiasat laman sosial Facebook ‘Najib Razak’ yang memuat naik hantaran didakwa berbaur fitnah pada 30 September lalu.

Najib melalui perkongsian di Facebook dikatakan menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil tindakan terhadap Kor Ming berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik di Facebook.

Pada 29 September lalu, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.

Kor Ming bagaimanapun menafikan beliau serta DAP terbabit membuat hantaran itu dan menegaskan akaun berkenaan sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya serta parti itu.

-BERNAMA


Pengarang :