Pengunjung memakai topeng muka di tengah kebimbangan penyebaran virus Covid-19, ketika melalui kawasan membeli-belah Myeongdong di Seoul pada 6 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: 483 lagi kes baharu di Korea Selatan

SEOUL, 7 MAC: Korea Selatan pada Sabtu melaporkan 483 lagi kes baharu Covid-19, menjadikan keseluruhan sebanyak 6,767, menyaksikan kes paling banyak dilaporkan di bandar tenggara Daegu dan wilayah Gyeongsang Utara, lapor agensi berita Yonhap.

Setakat ini, 44 pesakit meninggal dunia, kebanyakan warga tua, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC).

Kira-kira 60 peratus kes disahkan mempunyai kaitan dengan Daegu, bandar keempat terbesar di negara itu, mempunyai kira-kira 2.5 juta penduduk.

Daripada 483 kes baharu itu, 390 dilaporkan di Daegu dan 65 di Gyeongsang Utara, kata KCDC.

Sementara itu, Seoul dan sekitar wilayah Gyeonggi, masing-masing melaporkan tiga dan 10 kes.

Sejak tahap amaran ditingkatkan pada tahap tertinggi sejak 23 Februari, pihak berkuasa kesihatan memberi tumpuan untuk menghentikan penularan virus di Daegu dan Gyeongsang Utara.

– BERNAMA


Pengarang :