AGENSI SELANGOR

Selangor catat 381 kes denggi, naik banding minggu lepas

SHAH ALAM, 30 DIS: Sebanyak 381 kes demam denggi dilaporkan di Selangor bagi tempoh 20 hingga 26 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan jumlah itu menunjukkan peningkatan 5.8 peratus berbanding 360 kes pada minggu sebelumnya.

“Bagaimanapun, sebanyak 43,322 kes demam denggi sehingga minggu ke-52 berlaku penurunan 38.9 peratus berbanding minggu sama tahun lalu mencatat 72,543.

“Lima daerah yang merekod kes denggi paling tinggi ialah Petaling dengan 15,420 kes, Hulu Langat (9,737 kes), Klang (6,930 kes), Gombak (6,588 kes) dan Sepang (2,392 kes),” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman menerusi kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 37 kematian dilaporkan iaitu penurunan 33.9 peratus berbanding 56 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Justeru, beliau sarankan masyarakat mengamal langkah pencegahan dengan membersih sekitar premis dan kediaman bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.

 


Pengarang :