Datuk Seri Anwar Ibrahim mendeklamasi puisi karya A Samad Said sempena Peluncuran Buku Kombo Merdeka 65 Tahun (Salina) di Pavilion Selangor PBAKL Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 12 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar desak SPRM siasat syarikat dapat kontrak ‘mencurigakan’ babit menteri, bekas menteri

SHAH ALAM, 19 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang didakwa memperoleh kontrak kerajaan secara mencurigakan.

Ketua pembangkang juga menyarankan perdana menteri dan menteri sumber manusia supaya bertindak segera berikutan perkara itu membabitkan menteri dan bekas menteri.

“Perkara ini ternyata terus menggugat kepercayaan dan menanam curiga dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan dalam mengurus isu-isu penyelewengan dan kepincangan,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

UKSB adalah syarikat yang disebut dalam perbicaraan mahkamah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan sistem visa luar negara.

Sementara itu, SPRM akan membuka kertas siasatan terhadap nama-nama yang didakwa menerima wang dalam keterangan saksi perbicaraan kes Zahid, lapor Berita Harian.

Suruhanjaya tersebut juga mengesahkan mereka menerima aduan terhadap individu yang tersenarai dalam lejar yang dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan itu.


Pengarang :