Penyerang UiTM Lioness, Nurkhaleeda (kanan) diasak pemain SSS Leopard pada perlawanan kedua Liga Super Wanita FAS di Radia Arena B, Bukit Jelutong pada 9 Februari 2023. Foto Facebook FAS
AGENDASUKANKINI

Tampil taktikal baharu, UiTM Lioness mahu kekal rentak kemenangan

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 15 FEB: UiTM Lioness mahu mengekalkan rentak kemenangan dua perlawanan sebelum ini apabila bertemu Kelana United pada perlawanan ketiga Liga Super Wanita FAS malam ini.

Pengendali pasukan Shahreen Nizam berkata pasukannya akan tampil dengan taktikal baharu selepas kehilangan dua pemain akibat kecederaan dan penggantungan.

“Perlawanan malam ini penting bagi kedua-dua pasukan, bagi kami, UiTM mahu terus mengekalkan rentak kemenangan.

“Saya tidak ambil mudah cabaran pasukan kelana yang juga dibarisi pemain pemain berpengalaman, kami akan hadir dengan taktikal baru selepas kehilangan dua tonggak utama yang cedera dan dikenakan kad merah pada perlawanan lalu.

“Malam ini kita mahu memastikan kemenangan ataupun sekurang-kurangnya seri. Yang penting, kita dapat point (mata) malam ini,” katanya.

UiTM Lioness mendahului Kumpulan B dengan enam mata manakala Kelana United di tempat ketiga selepas mencatat satu kemenangan dan kalah tipis kepada UPNM.

Kelana United akan bertemu UiTM Lioness pada perlawanan Kumpulan B di Padang Radia Arena B, Bukit Jelutong jam 8 malam ini.

Orang ramai boleh mengikuti perlawanan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan Youtube FA Selangor.


Pengarang :