PBTSELANGOR

MPS: Peniaga bazar boleh dipotong deposit jika gagal patuhi syarat

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 31 MAC: Peniaga yang gagal mematuhi syarat pelesenan bazar Ramadan ditetapkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) boleh dikenakan tindakan pemotongan deposit atau cagaran.

Jabatan komunikasi korporat MPS berkata sehubungan itu pemeriksaan berkala bersama pelbagai agensi dijalankan bagi memantau kadar kebersihan dan pematuhan syarat membabitkan golongan peniaga berkaitan.

“Pemeriksaan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan polis.

“Antara kesalahan kerap dilakukan seperti meletak makanan di lantai, membuang sisa makanan ke dalam longkang, meninggalkan peralatan dan barang niaga selepas tamat jualan serta tidak memakai pelitup muka,” menurutnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, katanya, penguatkuasaan daripada agensi lain turut dibuat seperti KKM berhubung persampelan makanan dan sitaan mercun oleh polis.

“Kita juga menjalankan beberapa inisiatif bagi kempen kebersihan dengan memasang kain rentang mengenai kempen pembaziran makanan dan berbelanja dengan berhemah selain kempen makanan selamat oleh KKM melalui Facebook,” katanya.

Tahun ini, sebanyak 32 lokasi bazar Ramadan melibatkan lebih 1,871 petak bazar dikendalikan MPS.

Terdahulu, 15 peniaga di Selayang Utama diberi notis dalam satu operasi pada 27 Mac lalu. Notis dikeluarkan kepada peniaga yang tidak mendapatkan suntikan typhoid dan tidak mempunyai kursus pengendalian makanan.


Pengarang :