Majlis sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 16 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ikhlas, ada jiwa dalam mendidik jadi pegangan dua tokoh guru agama

SHAH ALAM, 16 MEI: Mengajar seikhlas dari hati manjadi pegangan pesara guru sehingga melayakkan beliau menerima pengiktirafan Tokoh Guru Agama Lelaki 2023 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Kejayaan itu melayakkan Mohd Ja’afar Komari, 63, menerima cek cura bernilai RM10,000 bersama sijil dan buku yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Sambutan Hari Guru di sini hari ini.

Mohd Ja’afar Komari

“Bagi saya, hadiah paling manis adalah apabila murid itu dengar, ikut dan boleh aplikasi apa yang kita ajar dalam kehidupan hariannya.

“Saya juga sangat seronok kerana bekas anak murid saya masih peluk dan bertanya khabar jika bertemu,” katanya.

Jamaliah Jauhari

Sementara itu, Tokoh Guru Agama Wanita 2023 pula mengakui kerjaya sebagai guru adalah pekerjaan idamannya sejak di bangku sekolah.

Jamaliah Jauhari, 63, yang pernah digelar sebagai ‘guru garang’ berkata guru harus mempunyai jiwa pendidik dan profesionalisme yang tinggi dalam mendepani cabaran dunia pendidikan masa kini.

“Jiwa sebagai seorang guru penting. Mesti ada semangat untuk majukan anak bangsa,” katanya yang mempunyai pengalaman mengajar selama 31 tahun.

Terdahulu, kira-kira 1,000 guru agama Kelas Agama Fardhu Ain (Kafa), tahfiz, institusi agama dan sekolah pondok dari seluruh Selangor diraikan dalam majlis tersebut.


Pengarang :