ADN Sungai Ramal Mazwan Johar. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Sungai Ramal salur hampir RM50,000 turap tar dataran SK Bandar Baru Bangi

SHAH ALAM, 30 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal membelanjakan RM49,500 bagi menurap tar dataran perhimpunan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Hulu Langat.

Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata peruntukan bawah Projek Selangor Penyayang bagi memastikan kemudahan sekolah berusia lebih 40 tahun lebih selesa untuk kegunaan pelajarnya.

“Sekolah ini berusia lebih 40 tahun dan binaannya banyak yang sudah dimamah usia dan usang. Pihak sekolah mohon kepada saya untuk diturap semula.

“Atas permintaan tersebut, maka saya telah panggil kontraktor penilaian harga tingginya ialah RM49,500 yang saya luluskan di bawah Projek Penyayang Selangor (PPS) untuk faedah sekolah ini,” katanya di Facebook.

Beliau menambah bantuan pihaknya terhadap sekolah itu merupakan sebahagian daripada tekad memperkasa bidang pendidikan di DUN berkenaan,

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM28 juta bawah inisiatif projek Selangor Penyayang bagi mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat melalui projek kecil demi manfaat penduduk.

Keutamaan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan naik taraf termasuk pembangunan kemudahan awam kerajaan yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :