Orang ramai menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA di layar gergasi melibatkan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 26 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Impian Selangor layak ke pentas akhir Piala FA musnah, tewas kepada JDT

Oleh Najamuddin Mohd Nor

SHAH ALAM, 26 JUN: Impian Selangor FC untuk menempah tempat ke pentas akhir Piala FA edisi 2023 musnah apabila kecundang 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.

Selangor FC yang dikemudi jurulatih Tan Cheng Hoe, tampak berjaya menyaingi JDT pada babak awal perlawanan separuh akhir.


Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari tiba untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 26 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Namun, gawang gol Selangor yang dikawal Khairul Azhan Khalid akhirnya bolos susulan serangan balas pantas JDT yang disempurnakan Arif Aiman pada minit ke-20.

Selangor kemudian memperkemaskan jentera serangan namun Syihan Hazmi tangkas menafikan beberapa peluang keemasan untuk Selangor mencari gol penyamaan.

Pemain JDT Diogo Luis Santos dicabar pemain pertahanan Selangor FC Quentin Jiun-Ho Cheng pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 26 Jun 2023. Foto Bernama

Arif Aiman terus menjadi duri dalam daging kepada Selangor apabila rembatan kencang dari luar kotak penalti menerjah ke gawang Khairul Azhan buat kali kedua pada minit ke-33.

Lima minit berselang, Arif Aiman terus membuktikan kehebatan sebagai penyerang terbaik negara apabila melengkapkan hatrik dengan mudah menolak masuk bola ke gawang Selangor.

Selangor memasukkan kapten Brendan Gan pada babak kedua bagi menghidupkan peluang dalam perlawanan ini.

Bagaimanapun, mereka terus dikejutkan dengan gol keempat JDT menerusi Fernando Forestieri selepas dua minit babak kedua bermula.

Kedudukan 4-0 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan pentas akhir Piala FA edisi 2023 milik JDT dan Kuala Lumpur City.


Penyokong Selangor FC menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 26 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Sementara itu, hampir 2,000 penyokong Selangor memenuhi Dataran Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA menerusi tayangan skrin gergasi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari tiba lima minit sebelum perlawanan bermula untuk menyaksikan Selangor melakar kejutan terhadap JDT.

Turut hadir EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.


Pengarang :