Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melawat replika kuarters berpusat pada majlis pecah tanah Laman Lestari di Bandar Sultan Suleiman, Klang pada 26 Jun 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS hasrat teroka potensi kerjasama bangun lebih banyak penempatan pekerja

KLANG, 27 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhasrat meneroka potensi kerjasama dengan Kumpulan Inter Great Sdn Bhd untuk membangunkan lebih banyak penempatan pekerja.

Ketua pegawai eksekutif PKNS berkata usahasama dengan syarikat penyedia pekerja asing  itu melibatkan pembangunan plot tanah perindustrian bernilai kira-kira RM1 bilion mengikut pasaran semasa.

“Projek masa depan ini menyediakan lebih 50,000 katil di pelbagai lokasi termasuk Shah Alam, Kota Puteri, Selangor Cyber Valley, Taman Industri Hijau Kota Puteri dan Pelabuhan Klang.

“Pekerja asing memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia selama beberapa dekad. Kita lihat keperluan menawarkan penginapan dan kemudahan selesa untuk meningkatkan kebajikan pekerja,” kata Dato’ Mahmud Abbas, semalam.

Terdahulu, PKNS mengadakan majlis pecah tanah Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman di sini dengan pembinaan dijangka bermula selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS FM Integrated dan Pengerusi Inter Great Sdn Bhd, Datuk Megat Fairouz Megat Tan Sri Junid pada Majlis Pecah Tanah Taman Lestari (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman, Klang pada 26 Jun 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN / SELANGORKINI

Sementara itu, beliau berkata pembangunan CLQ yang dijangka memuatkan 5,712 pekerja asing dan tempatan menyediakan rangkaian perkhidmatan pengurusan digital bagi melindungi golongan berkenaan.

Menurutnya, perkhidmatan itu merangkumi pemantauan pergerakan pekerja, pencegahan pemalsuan dokumen, pengesahan status undang-undang, pengurusan penyewaan, rekod inventori, penyenggaraan dan pemeriksaan di tapak.

“Langkah ini diwujudkan untuk melindungi pekerja dan mengekalkan pematuhan peraturan sekali gus memupuk persekitaran selamat CLQ,” katanya.


Pengarang :