EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi Ganabatirau Veraman (tengah) bergambar bersama penerima bantuan blueprint selepas majilis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) daerah Klang di Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Klang pada 14 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Usahawan tekad tingkat mutu perkhidmatan selepas terima bantuan alat niaga

KLANG, 15 JUN: Seorang usahawan percetakan tekad mahu meningkatkan mutu perkhidmatannya selepas menerima sumbangan peralatan menerusi program Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Mohd Khairi Mohd Ham, 60, berkata mesin percetakan sedia ada miliknya sebelum ini sudah lama uzur dan memerlukan kos yang tinggi sekiranya mahu diselenggara.

Mohd Khairi Mohd Ham, 60

“Dengan adanya mesin percetakan baharu ini insya-Allah saya tekad untuk mengembangkan perniagaan selain meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang meluluskan permohonan saya dan memberi mesin percetakan yang dianggarkan bernilai RM5,000,” katanya ketika ditemui.

Beliau antara 29 penerima sumbangan alatan perniagaan bagi daerah Klang dan disampaikan oleh EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau di Pejabat Daerah dan Tanah di sini, semalam.

Manakala, peniaga nasi lemak dan kuih-muih Sarimah Kastin, 62, berkata beliau menerima dapur masak dan pencincang (chopper) bernilai kira-kira RM1,000.

Sarimah Kastin
, 62

“Insya-Allah dengan bantuan ini saya bercadang untuk mengembangkan lagi perniagaan membuat karipap sejuk beku selain menambah kuantiti nasi lemak dibuatnya setiap hari.

“Kemudahan diberikan Kerajaan Negeri ini sangat membantu menambah pendapatan kami sebagai peniaga kecil-kecilan, terima kasih,” katanya.

Dalam belanjawan Selangor 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program bantuan itu diteruskan tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM2 juta.

Bantuan berbentuk peralatan atau mesin itu diwujudkan khusus untuk membantu golongan dalam kalangan penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di negeri ini.


Pengarang :