AGENDAJENAYAH

Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes wang palsu

GEORGETOWN, 15 JULAI: Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam kes duit palsu dengan seorang daripadanya berperanan menjual wang kertas RM100 dipercayai palsu dalam serbuan di sini dan Jalan Tebrau, Johor pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata penahanan dua lelaki itu susulan laporan polis diterima daripada penolong pengurus stor sebuah kedai serbaneka di Jalan Macalister, di sini berhubung seorang lelaki membeli kupon tambah nilai Touch N Go menggunakan wang kertas RM100 dipercayai palsu pada 8 Julai lalu.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menangkap lelaki itu di kawasan Georgetown pada 11.30 malam dan serbuan di rumahnya di Bukit Mertajam berjaya merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dan tujuh keping kupon tambah nilai Touch N Go.

“Hasil siasatan mendapati suspek mendakwa membeli 30 keping wang palsu RM100 dengan harga RM1,000 daripada lelaki tempatan yang dikenali menerusi laman sosial Instagram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya hasil maklumat dan risikan polis berjaya menahan lelaki kedua yang dipercayai berperanan menjual wang kertas palsu itu dalam serbuan di Jalan Tebrau bagi membantu siasatan kes itu.

Soffian berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua lelaki itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :