Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Puchong di Dewan Serbaguna MBSJ Bandar Bukit Puchong pada 15 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Penuhi permintaan penduduk, DUN Seri Serdang anjur lebih 40 kali jualan murah

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

SUBANG JAYA, 15 JULAI: Program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri dianjur sebanyak 41 kali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang antara Januari hingga hari ini.

Penyelaras Jualan Ehsan Rahmah (JER) Islah Ismail berkata inisiatif tersebut diadakan secara kerap selepas menerima permintaan penduduk berbanding hanya 28 kali sepanjang tahun lepas.

Pegawai Penyelaras Program JER Islah Ismail. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.

“Hampir semua kawasan kita telah jelajah seperti kawasan taman perumahan, surau dan masjid selain dewan pihak berkuasa tempatan.

Sambutan orang ramai amat menggalakkan. Contohnya hari ini barangan habis dijual tidak sampai dua jam. Jualan murah ini antara pelbagai inisiatif dilaksanakan Kerajaan Selangor untuk rakyat,” katanya ditemui di program JER di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya, Bandar Bukit Puchong, hari ini.

Dalam pada itu, pegawai Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Nazira Ahmad berkata lebih 300 pengunjung hadir ke program jualan murah hari ini.

“Beras, telur dan ayam adalah antara barang yang habis terjual dalam tempoh satu jam setengah. Untuk hari ini kami menyediakan 300 papan telur, 500 ekor ayam, 300 pek ikan, 300 kampit beras dan 150 botol minyak,” katanya

Wakil PKPS Nazira Ahmad. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.

Inisiatif untuk meringankan beban rakyat itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Susulan sambutan orang ramai, program kendalian PKPS itu diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Pada 12 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata subsidi hampir RM23 juta dibelanjakan setakat ini bagi meringankan beban rakyat membeli barangan keperluan asas menerusi program jualan murah.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Puchong di Dewan Serbaguna MBSJ Bandar Bukit Puchong pada 15 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Pengarang :