Orang ramai membeli barangan asas pada harga murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Selayang di Kampung Baru Kundang pada 15 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah: DUN Kuang anjur lima program hingga hujung bulan

Oleh Azian Aziz

SELAYANG, 15 JULAI: Sebanyak lima lagi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) akan dianjurkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang hingga hujung bulan ini.

Penyelarasnya Salasiah Disa berkata jualan murah barangan dapur itu diadakan di Medan Selera Tasik Biru (16 dan 30 Julai), Puteri Central Park (20 dan 27 Julai ) serta Dewan Merdeka Batu 20 (23 Julai).

Pegawai Khas Ahli Parlimen Selayang Salahsia Disa. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Selepas ini, kita akan memohon kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) agar dapat menganjurkan JER antara empat hingga enam kali sebulan.

“JER hari ini adalah program ke-40 dianjurkan DUN Kuang pada tahun ini dengan purata 400 penduduk hadir setiap program,” katanya ditemui dalam program JER di Kampung Baru Kundang, Kuang hari ini.

Sementara itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Kundang Koh Wee Chee berkata lebih 500 penduduk berbelanja di JER hari ini.

“Penduduk beratur sebelum 7 pagi untuk mengambil nombor giliran dan sebelum jualan dibuka pukul 10 pagi, 400 nombor giliran yang disediakan telah habis.

“Lebih 100 lagi penduduk yang datang selepas itu terpaksa menunggu untuk membeli barangan yang ditawarkan. Barangan seperi ayam, telur, beras dan ikan terjual tidak sampai dua jam,’ katanya yang juga memberitahu program JER hari adalah kelima dianjurkan di Kampung Baru Kundang tahun ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Kundang Koh Wee Chee. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Inisiatif untuk meringankan beban rakyat itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Susulan sambutan orang ramai, program kendalian PKPS itu diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Pada 12 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata subsidi hampir RM23 juta dibelanjakan setakat ini bagi meringankan beban rakyat membeli barangan keperluan asas menerusi program jualan murah.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai membeli barangan asas pada harga murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Selayang di Kampung Baru Kundang pada 15 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Pengarang :