Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media pada Majlis Penyerahan Kenderaan Rasmi Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 28 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri batal permohonan bina Lebuhraya PJD-Link

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan Negeri memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan Lebuhraya Dispersal Link (PJD-Link) di Petaling Jaya.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemuka kerana tidak menepati syarat ditetapkan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, prinsip pentadbiran Kerajaan Negeri adalah pembangunan yang mampu mencapai keseimbangan antara kemampanan, kemajuan ekonomi serta tidak memudaratkan rakyat.

“Berkait dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutamanya dari segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata cadangan pembinaan lebuh raya tersebut telah dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 3 September 2020 dan diberi ruang untuk dikaji melibatkan penduduk Petaling Jaya.

Sebelum ini, projek PJD-Link dibimbangi akan menyebabkan gangguan bunyi kepada pelajar dan keretakan bangunan sekolah berhampiran.

Lebuh raya berkembar (empat lorong) sepanjang 25.4 kilometer itu bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Projek itu bertujuan menambah baik kesesakan lalu lintas dan memenuhi pertumbuhan kenderaan masa hadapan di kawasan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.


Pengarang :