Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang menawar pertolongan bagi membersihkan maklumat diri dari aktiviti pengubahan wang haram dan dadah. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Sindiket tipu kerja: Polis buka 104 kertas siasatan libat kerugian RM1.23 juta

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Sebanyak 104 kertas siasatan dibuka berhubung sindiket penipuan tawaran kerja melibatkan kerugian lebih RM1.23 juta bermula Januari hingga Jun lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata modus operandi sindiket ini ialah menawarkan kerja sambilan dengan memberi pulangan komisen yang lumayan melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata mangsa diberi tugasan untuk dilaksanakan dan diminta membuat bayaran kepada suspek melalui keldai akaun.

“Setelah bayaran dibuat, kononnya mangsa telah berjaya menyelesaikan tugasan yang diberi dan akan dibayar komisen seperti yang dijanjikan.

“Terperdaya dengan komisen yang diperoleh kali pertama, mangsa yakin dan meneruskan tugasan berikutnya dengan sejumlah bayaran yang lebih tinggi serta komisen yang tinggi. Mangsa mula sedar ditipu apabila bayaran komisen tidak diperoleh selain suspek gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan modus operandi sindiket ini, pihak polis menyeru kepada masyarakat supaya lebih peka dan tidak terperdaya dengan pulangan yang lumayan dalam jangka masa yang singkat.

“Berhati-hati sekiranya menerima mesej bagi apa-apa tawaran. Semak dahulu kesahihan sebelum bertindak, elakkan daripada menjadi mangsa dunia tanpa sempadan ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :