Calon Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengedarkan risalah dan beramah mesra dengan pengundi pada program walkabout di Tapak Pasar Malam Taman Sri Andalas, pada 8 Ogos 2023. Foto NINA FARZUIN MD SHAROM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Mohd Zawawi tekad teruskan agenda pembangunan Sungai Kandis

OLEH NINA FARZUIN MD SHAROM

KLANG, 9 OGOS: Calon Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni bertekad untuk meneruskan agenda pembangunan sekiranya diberi peluang terus berbakti di kawasan itu.

Menurut beliau tempoh lima tahun sebelum ini tidak mencukupi apatah lagi penularan Covid-19 dan pertukaran Kerajaan Persekutuan menyebabkan beberapa projek tertunda.

“Contohnya tebatan banjir fasa dua Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari Jalan Batu Lima hingga ke Jalan Kebun, projek itu baru diluluskan tapi kerja-kerja pembinaan bermula bulan depan.

“Begitu juga projek pembinaan Masjid Kampung Lombong sudah lulus namun belum ada lantikan kontraktor,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti secara keseluruhan keperluan dan penyelesaian pembangunan di Sungai Kandis demi kemudahan dan keselesaan penduduk.

“Di kawasan kampung tradisi isunya lebih banyak iaitu berkaitan dengan pembangunan, jalan, parit dan pengcahayaan selain permohonan menambah sekolah dan masjid.

“Kita akan lihat fasa mana yang perlu diutamakan seperti di kawasan banjir di Johan Setia, Jalan Kebun dan Bukit Naga kerana ini melibatkan banyak penduduk dan kerosakan harta benda,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata, berbaki dua hari lagi tempoh berkempen, beliau akan menggunakan kesempatan yang ada untuk bertemu lebih ramai pengundi di kawasan itu.

Pilihan raya negeri (PRN) Selangor ditetapkan pada 12 Ogos.


Pengarang :