DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kiri) berjaya menawan puncak Gunung Kilimanjaro, Tanzania pada 8 September 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Kejayaan Raja Muda tawan Gunung Kilimanjaro membanggakan, beri inspirasi kepada belia

SHAH ALAM, 9 SEPT:  Kajayaan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor menakluk puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania adalah pencapaian yang membanggakan untuk rakyat negeri ini.

EXCO Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi berkata usaha Tengku Amir Shah itu juga wajar menjadi inspirasi kepada golongan belia.

“Sembah tahniah ke bawah DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang telah berjaya menamatkan misi pendakian menakluk puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania.

“Kejayaan ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan rakyat Selangor dan wajar menjadi inspirasi kepada para belia. Didoakan DYTM Tuanku berada dalam kesihatan yang baik dan selamat kembali ke tanah air,” katanya di laman X hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan usaha Raja Muda mengumpul dana pembinaan pusat penjagaan kanak-kanak dengan menakluk puncak gunung di Tanzania memberi inspirasi dan pedoman buat rakyat untuk membantu golongan memerlukan.

Pendakian Tengku Amir ke puncak Gunung Kilimanjaro setinggi 5,895 meter bermula 31 Ogos lalu hingga semalam.

Pada 2012, Raja Muda pernah menyertai ekspedisi hampir serupa ke Gunung Kinabalu bersama 23 kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) dari Cheshire Home.

Mereka yang ingin menyumbang kepada dana pembinaan pusat jagaan yang bertempat di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam boleh melayari pautan ini.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berjaya menawan puncak Gunung Kilimanjaro, Tanzania pada 8 September 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office

Pengarang :