Pasukan ‘The Next Factor’ dari Australia yang beraksi dalam saingan kelas 1 membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila merangkul dua gelaran pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2023 pada 22 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Australia rangkul kemenangan berganda pada kejohanan perlumbaan kapal layar

GEORGE TOWN, 22 NOV: Pasukan The Next Factor dari Australia membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila merangkul dua gelaran pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2023 hari ini.

Pelayaran yang dikemudi skipper Rolf Heemskerk bersama sembilan kru kapal unggul menjuarai saingan RMSIR peringkat kedua dari Pulau Pangkor ke Pulau Pinang setelah merekodkan 12 jam 40 minit 24 saat serta meraih gelaran perlumbaan Pelabuhan Pulau Pinang.

Mereka sekali gus berada dalam kedudukan selesa di tangga pertama dengan lima mata untuk bergelar juara keseluruhan RMSIR diikuti Witchcraft di tempat kedua (lapan mata), Uranus di tempat ketiga (12 mata) dan Aftershock di tempat terakhir kelas 1 dengan 15 mata.

“Perlumbaan yang sangat bagus dan hebat di Pulau Pinang. Kami teruja kerana berjaya menang dua kali hari ini. Kami pernah menang sekali pada 2019 dengan bot yang sama, dan apabila dapat kembali dengan pasukan yang melakukannya dengan baik, ia sangat menyeronokkan,” kata Heemskerk kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah hari ini.

Perlumbaan selama lapan hari hingga 25 Nov itu, yang disertai 19 pasukan bagi enam kelas berbeza akan meneruskan pelayaran ke Pulau Langkawi sebagai destinasi terakhir esok.

Kejohanan RMSIR dicetuskan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda masih bergelar Raja Muda Selangor.

– BERNAMA


Pengarang :