Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad dan penulis buku Indonesia Asma Nadia menonton filem Jomblo Fi Sabilillah bersama pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2 Disember 2023. Foto Ihsan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Filem Jomblo Fi Sabilillah tambat hati pengunjung pesta buku negeri

SHAH ALAM, 4 DIS: Filem Jomblo Fi Sabilillah yang diadaptasi daripada novel tulisan Asma Nadia ditayangkan khas di hadapan ribuan pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 kelmarin.

Penulis buku tersohor dari Indonesia itu bangga filem santai berunsur romantis yang dipapar di pentas utama Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini berjaya menambat hati penonton.

Beliau berkata penonton menghayati setiap babak dan plot cerita dilakonkan pemegang watak, sekali gus membuktikan penerimaan baik rakyat Malaysia terhadap karya tulisannya.

“Jika di beberapa negara lain filem yang diadaptasi daripada novel Asma Nadia sudah ditayangkan, tetapi buat pertama kalinya karya Asma Nadia (Jomblo Fi Sabilillah) dipertonton kepada orang ramai di pesta buku.


Orang ramai menonton filem Jomblo Fi Sabilillah yang diadaptasi daripada novel tulisan Asma Nadia di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2 Disember 2023. Foto Ihsan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor

“Sambutan sangat luar biasa sehinggakan ada suami isteri berpegangan tangan, menangis dan ketawa bersama. Saya dapat rasakan mereka menyukai filem tersebut,” katanya kepada Selangorkini semalam.

Filem terbitan Warna Pictures yang dibintangi Adhin Abdul Hakim, Ricky Harun dan Nabilah Ayu memasuki panggung Indonesia sejak 14 September lalu.

Sementara itu, pemilik Asma Nadia Publishing House berkata meski filem arahan Jastis Tamba berunsur komedi santai dan ringan, namun ia sarat dengan nilai kebaikan serta keislaman.

Selain itu, katanya, filem dan novel tulisan bersama Helvy Tiana Rosa menekankan peranan keibubapaan dalam mencorak serta mendidik anak-anak.

Penulis buku Indonesia Asma Nadia menunjukkan antara buku penulisannya ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 3 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Banyak persoalan akan timbul jika ditonton dan dibaca. Watak seorang anak bujang yang belum pernah bercinta serta tidak memiliki teman perempuan, seterusnya dipaksa kahwin.

“Mungkin juga dia (anak bujang) sudah lama menyukai seseorang tetapi tiada keberanian untuk mengungkapkan perasaan. Jadi semua persoalan terjawab dalam karya ini.

“Kami menghadirkan sebuah cerita yang membuatkan semua orang termasuk orang tua berfikir sejenak bahawa pada dasarnya ketika kita membesarkan anak-anak, sebenarnya kita sudah melukis kenangan indah pada mata, fikiran dan minda mereka,” katanya.

Beliau juga memaklumkan novel tersebut kini dalam proses cetakan sebelum menjengah pasaran selain boleh diakses melalui aplikasi KBM App di Google PlayStore dan AppStore.

Sehingga kini, sebanyak 108 novel termasuk antologi ditulis Asma dengan 14 daripadanya diadaptasi ke filem. Terbaharu berjudul ‘Anak Penangkap Hantu’.

Pengujung menyaksikan persembahan musikal daripada Konservatori Muzik Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di Pusat Konvensyen MBSA pada 1 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :