AGENDAJENAYAH

Lelaki didakwa memandu melulu hingga langgar empat beranak didenda RM6,000

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang tular kerana memandu secara melulu sehingga melanggar empat sekeluarga yang menaiki motosikal di Lebuhraya Besraya, didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhi hukuman itu ke atas pereka grafik Mohammad Harith Ismail, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Mohammad Harith didakwa memandu kenderaan itu di jalan raya dengan tidak cermat dan prihatin di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi menghala ke Balakong di sini pada 12.30 tengah hari, semalam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000 dan boleh dipenjara maksimum 12 bulan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Fatin Dayana menasihati tertuduh supaya lebih berhati-hati dan berwaspada semasa memandu.

Timbalan Pendakwa Raya R Harvind memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Mohammad Harith yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut.

“Saya bukan orang sini, saya tidak arif dengan selok-belok jalan (lokasi kejadian). Saya juga tidak melarikan diri atau meninggalkan mangsa di situ, sebaliknya terus hantar mereka ke hospital,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan tular di laman sosial rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan motosikal dinaiki dua orang dewasa bersama dua kanak-kanak dihimpit sebuah kenderaan yang menukar lorong secara tiba-tiba.

Hasil siasatan polis mendapati kesemua mangsa yang berusia lima hingga 34 tahun cedera dan mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

– BERNAMA


Pengarang :